Sarawak Kekalkan 7.64 Juta Hektar Litupan Hutan, Terbesar Di Malaysia
KUCHING: Sarawak terus mengekalkan kira-kira 7.64 juta hektar kawasan litupan hutan, merangkumi 62 peratus daripada keluasan negeri itu sekali gus menjadikannya sebagai negeri yang mempunyai kawasan hutan terbesar di Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar.
Menurut beliau, kira-kira 1.54 juta hektar kawasan hutan asli dan ladang hutan di Sarawak turut memperoleh pensijilan pengurusan hutan sebagai langkah memastikan sumber hutan diurus secara mampan.
“Kerajaan Sarawak mengambil serius semua perkara yang dibangkitkan berkaitan sektor perhutanan, kawasan terlindung sepenuhnya, industri perkayuan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Melalui Jabatan Hutan Sarawak dan agensi-agensi berkaitan, Kerajaan akan terus memperkukuh pengurusan hutan secara mampan berasaskan sains dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah mewartakan lima kawasan daratan baharu sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) sepanjang 2026, melibatkan keluasan 4,484.75 hektar.
Pewartaan itu menjadikan jumlah keseluruhan TPA daratan di Sarawak meningkat kepada 879,478.28 hektar.
Jelas beliau, usaha pemeliharaan berterusan itu turut menyokong komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan hutan selaras dengan Deklarasi Rio de Janeiro 1992.-EDISI UKAS