Eksport Industri Perkayuan Sarawak Cecah RM1.77 Bilion Setakat September 2026
KUCHING: Industri perkayuan Sarawak mencatatkan nilai eksport RM1.77 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026, mencerminkan sumbangan berterusan sektor itu kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, industri berkenaan turut merekodkan nilai eksport keseluruhan RM2.5 bilion pada 2025, disokong perkembangan produk hiliran perkayuan bernilai tambah.
Menurut beliau, nilai eksport pelet kayu melonjak daripada RM400,000 pada 2021 kepada RM179 juta pada 2025, manakala eksport produk perabot meningkat daripada RM47.7 juta pada 2021 kepada RM59 juta pada 2024.
“Pemanfaatan sisa kayu untuk menghasilkan pelet biojisim dan biochar berpotensi menyokong pendekatan ekonomi kitaran (circular economy) dan penukaran sisa kepada tenaga (waste to energy), di samping mengoptimumkan penggunaan sumber,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Rabu.
Dalam usaha memastikan kelestarian bekalan bahan mentah, Datuk Amar Awang Tengah berkata, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) turut melaksanakan projek penanaman buluh secara besar-besaran sebagai sumber alternatif bagi industri hiliran perkayuan.
Katanya, Kerajaan Sarawak menyasarkan penanaman buluh seluas 30,000 hektar menjelang 2030, dengan 5,146 hektar telah ditanam setakat ini menerusi penanaman komersial dan penglibatan komuniti.
Sementara itu, sebanyak 1,319 lesen industri perkayuan telah dikeluarkan oleh PUSAKA, merangkumi aktiviti import, eksport, jualan tempatan dan pembuatan.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 329 merupakan lesen kilang perkayuan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 9,625 orang.-EDISI UKAS