Dasar Alam Sekitar Sarawak Perkukuh Tadbir Urus Alam Sekitar Negeri
KUCHING: Dasar Alam Sekitar Sarawak digubal sebagai rangka kerja strategik untuk mengukuhkan tadbir urus alam sekitar, sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dasar ini merangkumi empat bidang strategik, iaitu Pengurusan Alam Sekitar Semulajadi, Perubahan Iklim, Keterangkuman Sosial dan Pengawasan Awam, serta Penyelidikan, Pendidikan dan Kesedaran Awam.
“Dasar ini akan menjadi panduan kepada agensi kerajaan dan swasta dalam merancang dan melaksanakan langkah-langkah melindungi dan memulihara alam sekitar demi kesejahteraan rakyat Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, selaras dengan aspirasi PCDS 2030, kerajaan komited memperkukuh pengurusan Hutan Simpan Kekal dan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) serta memulihkan 200,000 hektar hutan terosot menjelang 2030 melalui ‘Greening Sarawak Campaign’.
“Setakat ini, sejumlah lebih kurang 106,595 hektar kawasan terosot telahpun ditanam dengan pelbagai spesies pokok tempatan.
“Usaha ini akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan dan masyarakat setempat bagi memastikan pengurusan, perlindungan dan pemulihan hutan dapat dilaksanakan secara berkesan serta menjamin kelestarian sumber hutan untuk generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa ‘Greening Sarawak Campaign’ ini telah mencapai kejayaan yang membanggakan.
“Sejak 2021 hingga Oktober 2026, Sarawak telah menanam lebih kurang 65 juta pokok, sekaligus melepasi sasaran 35 juta pokok yang ditetapkan kepada Sarawak di bawah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Malaysia.
“Bagi mengekalkan momentum, Sarawak menyasarkan penanaman 50 juta pokok tambahan menjelang tahun 2030 melalui Penghijauan Malaysia 2.0,” ujarnya. -EDISI UKAS