Fakulti Undang-Undang UNIMAS Tawar Pendekatan Butik, Fokus Lahirkan Pengamal Undang-Undang Berkualiti
KOTA SAMARAHAN: Fakulti Undang-Undang Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyasarkan untuk melahirkan pengamal undang-undang berkualiti menerusi pendekatan butik, iaitu pendidikan berskala kecil yang menekankan kecemerlangan akademik, pengkhususan ilmu dan pembangunan sahsiah pelajar.
Dekan Fakulti Undang-Undang UNIMAS, Profesor Dato' Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin berkata, pendekatan yang digelar 'The First Boutique Public Law School' itu membolehkan fakulti memberi perhatian lebih dekat terhadap perkembangan akademik dan pembentukan profesional setiap pelajar.
Menurut beliau, pengambilan sulung fakulti itu melibatkan kira-kira 30 pelajar yang memulakan pengajian pada 12 Oktober lalu, sekali gus menandakan sejarah baharu pendidikan undang-undang awam di Borneo.
“Kita tidak mahu menghasilkan graduan secara besar-besaran tanpa memberi perhatian kepada standard.
“Dengan jumlah pelajar yang kecil, kita boleh memastikan kawalan mutu yang lebih baik melalui tenaga pengajar yang ada,” katanya ketika ditemu bual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di UNIMAS, baru-baru ini.
Beliau berkata, fakulti itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu sejarah perlembagaan, undang-undang pribumi dan adat serta dasar ekonomi Sarawak dari perspektif perundangan dan kawal selia.
Dalam bidang sejarah perlembagaan, penelitian akan merangkumi perkembangan perlembagaan Sarawak dan Sabah, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bagi memperkukuh pemahaman berasaskan fakta mengenai sejarah pembentukan Malaysia serta kedudukan kedua-dua negeri dalam Persekutuan.
Bagi undang-undang pribumi dan adat pula, tumpuan diberikan kepada sistem perundangan adat, hak masyarakat pribumi serta pengiktirafan pengetahuan dan amalan tradisional, khususnya berkaitan tanah dan sumber alam.
Sementara itu, bidang dasar ekonomi Sarawak akan meneliti hubungan antara pembangunan ekonomi dengan kerangka undang-undang dan kawal selia bagi memastikan pelaksanaan dasar selari dengan prinsip tadbir urus yang baik.
Dalam temu bual sama, Profesor Dato' Dr. Johan memaklumkan bahawa Institut Pengajian Borneo (IBS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kerjasama Pusat Pluralisme Perundangan dan Undang-Undang Adat serta Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya akan menganjurkan persidangan pada 22 hingga 23 Oktober ini di Dayak Cultural Foundation (DCF), Kuching.
Persidangan tersebut akan membincangkan pluralisme undang-undang, termasuk undang-undang adat dan hak masyarakat pribumi, selain meneliti peranan pengetahuan pribumi dalam tadbir urus serta pemeliharaan warisan budaya menerusi pendekatan antara disiplin yang merangkumi undang-undang, sejarah dan antropologi.
Turut serta dalam temubual tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengelola persidangan, Profesor Dr. Ramy Bulan dan Pengarah Institut Pengajian Borneo UNIMAS, Profesor Dr. Poline Bala. -EDISI UKAS