Geran RM30,000 Perkasa Kemahiran OKU, Sasar Penyertaan Ke Finland 2027
KUCHING: Geran berjumlah RM30,000 disalurkan bagi memperkukuh latihan kemahiran golongan orang kurang upaya (OKU) di Sarawak sekali gus menyokong persiapan mereka untuk menyertai pertandingan kemahiran antarabangsa, Abilympics di Finland pada 2027.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pembangunan kemahiran merupakan antara pendekatan penting dalam memperkasa golongan OKU agar lebih berdikari serta berpeluang menjana pendapatan.
“Golongan OKU perlu diberi peluang untuk mengembangkan kemahiran kerana kemahiran penting bagi membantu mereka menjana pendapatan dan hidup berdikari,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan Geran Pertubuhan Sukarela Kebajikan Negeri Sarawak 2026 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) kepada Sarawak Skills Development Association (SOSDA) pada Rabu.
Sementara itu jelasnya, antara bidang kemahiran yang diberi tumpuan sebagai persediaan menghadapi pertandingan berkenaan ialah gubahan bunga, reka bentuk poster, refleksologi dan fotografi.
Dato Sri Fatimah berkata, latihan berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemahiran peserta, malah membuka ruang kepada golongan OKU untuk mengembangkan bakat dan memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kebolehan serta kelayakan masing-masing.
Beliau turut menekankan kepentingan menyediakan lebih banyak platform kepada golongan OKU yang berbakat dalam bidang seni, lukisan dan kraf tangan untuk mengetengahkan hasil kreativiti mereka kepada masyarakat.
Usaha itu diharap dapat meningkatkan kebolehpasaran, memperkukuh keyakinan diri serta membuka peluang kepada golongan OKU Sarawak untuk bersaing di peringkat antarabangsa.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S. Embie