Kejayaan Bonnie Bunyau Inspirasi Golongan OKU Cipta Kecemerlangan
KUCHING: Kejayaan atlet para Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin mempertahankan pingat emas dalam acara angkat kuasa (powerlifting) pada Sukan Para Asia 2026 Aichi-Nagoya menjadi inspirasi kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk terus mengembangkan bakat dan mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pencapaian Bonnie membuktikan golongan OKU mempunyai potensi besar untuk berjaya dalam pelbagai bidang sekiranya diberikan peluang, sokongan dan latihan sewajarnya.
“Kejayaan Bonnie Bunyau membuktikan golongan OKU mampu mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa sekiranya diberikan peluang, sokongan dan latihan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan geran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) kepada SOSDA di sini pada Rabu.
Dato Sri Fatimah menambah, kejayaan atlet berkenaan wajar dijadikan pembakar semangat kepada golongan OKU lain untuk mengetengahkan kebolehan serta menceburi bidang yang bersesuaian dengan minat dan potensi masing-masing.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh usaha pemerkasaan golongan OKU menerusi pembangunan kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran, membuka peluang pekerjaan dan membantu mereka menjana pendapatan secara berdikari.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan golongan OKU mendapat peluang yang lebih luas untuk menyumbang kepada masyarakat serta mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S.Embie