BINTULU: Polis Sarawak akan mengoptimumkan kira-kira 11,500 pegawai dan anggota sedia ada bagi penugasan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 sebelum mempertimbangkan keperluan mendapatkan bantuan sumber manusia dari luar Sarawak.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, keperluan sebenar anggota masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan berdasarkan perancangan operasi serta keperluan setiap daerah selepas penilaian menyeluruh dibuat.
“Seperti yang saya jelaskan tadi, kita akan cuba meminimumkan bantuan sumber manusia dari luar Sarawak dan menyusun pegawai serta anggota yang sedia ada untuk penugasan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Bengkel Pengharmonian Persiapan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-13 di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu, pada Rabu.
Bengkel tiga hari itu menghimpunkan kira-kira 115 pegawai dan wakil jabatan berkaitan dari seluruh Sarawak bagi menyelaras persiapan penugasan PRN, termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Polis Marin.
Saifullizan berkata, persiapan penugasan anggota polis bagi pengundian awal akan dilaksanakan mengikut prosedur biasa.
Bengkel anjuran Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak itu turut menjadi platform memperkemas perancangan dan penyelarasan antara jabatan serta daerah bagi menghadapi PRN Sarawak Ke-13.- EDISI UKAS