Sarawak Kekalkan Penarafan Kredit AAA Dengan Prospek Stabil
KUCHING: Sarawak terus mengekalkan penarafan kredit AAA dengan prospek stabil selepas Agensi Penarafan Malaysia (RAM) mengesahkan semula penarafan tersebut pada Jun 2026.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Moody’s Ratings dan S&P Global Ratings turut mengesahkan semula penarafan kredit pelaburan negeri masing-masing pada tahap A3 dan A-.
"Penarafan kredit pelaburan yang membanggakan ini membuktikan kedudukan kewangan kita yang kukuh namun izinkan saya menegaskan bahawa penarafan kredit bukanlah matlamat akhir.
"Sebaliknya, penarafan tersebut mencerminkan prinsip yang sentiasa kita pegang, iaitu pengurusan fiskal yang berhemat, perbelanjaan yang berdisiplin, rizab yang kukuh, pinjaman yang bertanggungjawab dan tadbir urus yang mantap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.
Selain itu, Datuk Amar Douglas memberitahu, Sarawak turut menerima Sijil Tanpa Teguran bagi Akaun Awam untuk tahun kewangan 2025, sekali gus melanjutkan rekod pencapaian tersebut kepada 24 tahun berturut-turut.
Jelasnya, pengiktirafan itu mencerminkan kekuatan institusi tadbir urus negeri serta amalan berhemat yang terus menjadi panduan dalam pengurusan kewangan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penjawat awam negeri atas dedikasi dan profesionalisme mereka dalam mengekalkan standard tadbir urus serta disiplin kewangan yang tinggi.
Menurutnya, komitmen tersebut membantu memperkukuh kredibiliti institusi kerajaan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan sumber negeri yang bertanggungjawab, telus dan berkesan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie