RM52.5 Bilion Diperuntuk Biayai 1,203 Projek Sarawak Di Bawah RMK13
KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan siling peruntukan RM52.5 bilion bagi membiayai 1,203 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), merangkumi 832 projek pembangunan fizikal dan 371 inisiatif bukan fizikal.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada RM9.7 bilion yang diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pada 2026, sebanyak RM5.6 bilion atau 58 peratus telah dibelanjakan setakat ini.
Menurut beliau, sebanyak 86 projek telah berjaya disiapkan, manakala baki 1,117 projek masih berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Sebagai tahun pertama RMK-13, pelaksanaan projek masih dalam proses meningkatkan momentum, dengan kadar penyampaian projek dan perbelanjaan dijangka meningkat apabila lebih banyak projek memasuki fasa pelaksanaan penuh sepanjang baki tempoh rancangan ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan sebanyak 1,146 projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan turut diluluskan di bawah ‘Rolling Plan’ Pertama (RP1) 2026 RMK13 dengan peruntukan berjumlah RM6 bilion.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM3.2 bilion atau 53 peratus telah dibelanjakan setakat ini.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, sebanyak 256 projek Persekutuan telah berjaya disiapkan, manakala baki 890 projek sedang dilaksanakan pada pelbagai peringkat.
“Di bawah RP1 2026 RMK13, sejumlah 1,146 projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan RM6 bilion telah diluluskan,” katanya lagi.
Menyentuh prestasi Projek Rakyat, beliau memberitahu sebanyak RM169 juta telah dibelanjakan berbanding peruntukan yang diluluskan sebanyak RM353 juta setakat September tahun ini.
Jelasnya, prestasi perbelanjaan berkeaan dijangka meningkat menjelang akhir tahun ini. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi & George Embie