Pengurusan Bencana Perlu Kerjasama Erat Kerajaan, Masyarakat
ASAJAYA: Kerjasama erat antara kerajaan, agensi penyelamat dan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan pengurusan bencana dilaksanakan dengan teratur, khususnya ketika menghadapi kejadian banjir dan operasi pemindahan penduduk.
Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat berkata, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan aktif dengan berkongsi pengetahuan yang diperoleh menerusi latihan pengurusan bencana bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk setempat.
"Ilmu berkaitan pengurusan bencana tidak seharusnya terhenti selepas program berakhir, sebaliknya perlu dikongsikan dalam mesyuarat JKKK bagi meningkatkan kefahaman dan kesiapsiagaan masyarakat di peringkat akar umbi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Latihan Program Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan 2026 di Dewan Tan Sri Datuk Amar Haji Abang Ikhwan Zaini, Pejabat Daerah Asajaya, di sini, pada Selasa.
Mengulas pengoperasian PPS, Rais menjelaskan pembukaan pusat berkenaan memerlukan penyelarasan pelbagai agensi, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi kesihatan.
Menurutnya, masyarakat juga perlu memahami proses penyediaan bantuan kecemasan, termasuk penghantaran makanan kepada mangsa yang ditempatkan di PPS, selain menghargai usaha petugas yang terlibat.
Sehubungan itu katanya, kerjasama antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat perlu terus diperkukuh bagi memastikan urusan pemindahan, penempatan serta kebajikan mangsa bencana dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Hadir sama, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannudin Bidin -EDISI UKAS