KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal mengkaji semula Ordinan Badan Berkanun (Prosedur Kewangan dan Perakaunan), 1995 bagi memperkukuh tadbir urus serta akauntabiliti Perusahaan Milik Kerajaan Sarawak (SOE).
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kajian semula itu merupakan sebahagian daripada usaha transformasi pengurusan kewangan awam Sarawak, termasuk meneliti kerangka perundangan yang lebih menyeluruh bagi tadbir urus SOE.
Tambahnya, selain daripada kajian semula ordinan tersebut, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Dasar Pemilikan Negeri Sarawak, Kod Tadbir Urus Korporat Sarawak bagi SOE serta penggunaan papan pemuka digital e-SOEs untuk memantau prestasi, risiko fiskal dan pematuhan secara masa nyata.
"Pembaharuan ini mewakili perubahan asas ke arah SOE yang lebih berdisiplin, telus dan berorientasikan prestasi.
"Setiap SOE mesti mengekalkan standard tadbir urus tertinggi, mencapai hasil yang boleh diukur serta menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah memberitahu, pelaksanaan Belanjawan Berasaskan Hasil (RBB) turut menunjukkan kemajuan apabila beralih daripada pembangunan Kerangka Hasil kepada pemantauan dan pelaporan prestasi bagi Tahun Belanjawan 2026 menerusi Sistem Penyelesaian Pengurusan Prestasi dan Hasil (PReMaS).
Ujarnya, petunjuk prestasi yang diperoleh melalui sistem itu turut digunakan sebagai panduan dalam proses penelitian Belanjawan 2027, sekali gus memperkukuh pendekatan belanjawan berasaskan bukti.
Bagi tahun 2027, tumpuan jelasnya akan diberikan kepada kajian semula Kerangka Hasil 2026 bagi semua kementerian dan program masing-masing untuk menilai prestasi, mengenal pasti jurang pelaksanaan serta meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan data prestasi.
Ke arah itu katanya, Kerajaan Sarawak akan memperkukuh pembangunan kapasiti dengan menerapkan RBB dalam kursus latihan wajib bagi semua peringkat Perkhidmatan Awam Sarawak, sekali gus menjadikannya sebagai salah satu kompetensi teras penjawat awam. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie & Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir