SSWFF Cecah RM8.6 Bilion Peruntukan Sejak Ditubuhkan Pada 2024
KUCHING: Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak (SSWFF) menerima jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM8.6 bilion sejak penubuhannya pada 2024, termasuk peruntukan RM300 juta pada tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, aset di bawah pengurusan (AUM) tabung itu turut dijangka mencapai RM9.05 bilion menjelang akhir 2026.
"Ini sekali gus mencerminkan tekad untuk mengembangkan tabung itu secara berterusan bagi tujuan simpanan jangka panjang dan sokongan kewangan mampan untuk generasi akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, SSWFF merupakan tabung simpanan jangka panjang antara generasi yang diwujudkan bagi mempelbagaikan sumber pelaburan negeri serta menukarkan sebahagian hasil pendapatan semasa kepada dana kekayaan berkekalan untuk generasi akan datang.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas menjelaskan, SSWFF mengutamakan pemeliharaan modal pada peringkat awal pembinaan portfolio, di samping melaksanakan pelaburan secara berperingkat dalam kelas aset yang diluluskan oleh Lembaga.
Menurutnya, pendekatan berhemat dan selaras dengan Ordinan itu turut membolehkan SSWFF memperkukuh kedudukannya sebagai pelabur global, sekali gus memastikan dana kekayaan Sarawak terus dilindungi dan dikembangkan demi manfaat generasi akan datang.
Selain itu katanya, SSWFF turut memperoleh pengiktirafan antarabangsa apabila diluluskan sebagai Ahli Bersekutu Forum Antarabangsa Tabung Kekayaan Berdaulat (IFSWF).
Selaras dengan Prinsip Santiago, tabung itu kini berada di landasan untuk memperoleh keahlian penuh, mencerminkan komitmennya terhadap amalan terbaik global, ketelusan, akauntabiliti dan kemampanan dalam pengurusan kekayaan negeri. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie & Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir