JKR Sarawak Laksana 235 Projek Bernilai RM3.81 Bilion
KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah diamanahkan melaksanakan sebanyak 235 projek pembangunan bernilai RM3.81 bilion sepanjang tempoh empat tahun lalu di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, JKR Sarawak dilantik sebagai Jabatan Teknikal bagi melaksanakan projek-projek utama di bawah peruntukan berkenaan.
"Pelantikan itu membolehkan JKR Sarawak menyediakan kepakaran teknikal serta melaksanakan projek pembangunan yang ditugaskan oleh agensi Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.
Mengenai status projek yang dilaksanakan, Datuk Amar Douglas memberitahu, daripada keseluruhan 235 projek berkenaan, sebanyak 22 projek telah siap, manakala 92 projek sedang dalam pembinaan.
Selain itu katanya, sebanyak 36 projek berada pada peringkat tender dan 85 projek lagi masih pada peringkat prakontrak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie