Rangkaian Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua Libatkan Pelaburan RM11 Bilion
KUCHING: Pembangunan Rangkaian Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua Sarawak melibatkan pelaburan RM11 bilion bagi membina rangkaian jalan sepanjang 654.70 kilometer, sekali gus memperkukuh hubungan antara kawasan di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kedua-dua projek itu merupakan antara inisiatif infrastruktur utama yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi meningkatkan kesalinghubungan.
“Rangkaian Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua merupakan dua inisiatif infrastruktur utama yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak, melibatkan pelaburan gabungan RM11 bilion dan merentasi 654.70 kilometer,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Tambahnya lagi, pembangunan jalan berkenaan turut disokong pembinaan jambatan mega di beberapa lokasi strategik, termasuk jambatan yang dijadual dibuka kepada lalu lintas menjelang akhir tahun ini.
Malah jelas Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu lagi, projek berkenaan dijangka menghapuskan sembilan lintasan feri serta mengurangkan jarak perjalanan antara Kuching dan Sibu.
“Jarak perjalanan Kuching-Sibu dijangka berkurangan daripada kira-kira 396 kilometer kepada 252 kilometer apabila baki jambatan dan jalan penghubung disiapkan,” katanya lagi. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi & George Embie