Naik Taraf Jalan Telang Usan-Mulu RM260 Juta Dijangka Bermula 2027
KUCHING: Projek pembinaan dan naik taraf kira-kira 30.21 kilometer jalan bekas pembalakan di Telang Usan dan Mulu, Baram, Miri bernilai RM260 juta dijangka mula dilaksanakan pada suku pertama 2027.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, reka bentuk projek berkenaan telah siap dan turut merangkumi pembinaan sembilan jambatan bagi meningkatkan hubungan perhubungan di kawasan terbabit.
“Projek ini melibatkan pembinaan dan naik taraf kira-kira 30.21 kilometer jalan bersama sembilan jambatan dengan anggaran kos RM260 juta,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, usaha memperluas akses jalan luar bandar turut melibatkan proses pengambilalihan beberapa jalan bekas pembalakan di kawasan Ulu Mukah dan Selangau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Katanya, tiga jajaran iaitu Jalan Ulu Mukah–Selangau, Jalan Ulu Selangau dan Jalan Stapang Quarry/Ulu Oya–Selangau kini melalui kerja-kerja survei jajaran sebelum proses pewartaan dilaksanakan sebagai langkah seterusnya ke arah menaik taraf jalan berkenaan mengikut spesifikasi JKR.
Selain itu katanya, kerajaan turut meluluskan cadangan pembinaan jalan penghubung dari Jambatan R.C. merentasi Batang Ai di Merebong ke Pekan Engkelili, Bukit Tungku dan Klampo, Lubok Antu, Sri Aman yang dijangka siap pada suku pertama 2028.
Bagi kawasan Sri Aman dan Lubok Antu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut meluluskan enam projek berkaitan jalan dan jambatan, meliputi tiga projek yang sedang dalam pembinaan serta tiga lagi di peringkat perancangan.
Antara projek berkenaan ialah Jalan Ulu Skrang, Lubok Antu Fasa 2, Jambatan Konkrit Merentasi Batang Ai di Pekan Engkelili dan Jalan Sebeliau–Bilararap di Sri Aman.
Manakala projek dalam perancangan merangkumi naik taraf Jalan Ulu Skrang serta pembinaan jambatan konkrit baharu di Nanga Entalau dan Menjuau Ulu, Sri Aman.- EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie