39 Jambatan Luar Bandar Siap Di Bawah Program RBTP
KUCHING: Sebanyak 39 daripada 135 jambatan yang dikenal pasti di bawah Program Transformasi Jambatan Luar Bandar (RBTP) telah siap, manakala 31 lagi sedang dalam pembinaan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, program bernilai RM400 juta itu diteruskan bagi menaik taraf dan menggantikan jambatan kecil, khususnya di sepanjang jalan bekas pembalakan dan jalan balak.
“Kerajaan terus memperkukuh kesalinghubungan luar bandar melalui RBTP dengan menaik taraf dan menggantikan jambatan kecil, khususnya di sepanjang jalan bekas pembalakan dan jalan balak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Sementara itu katanya, sebanyak 17 jambatan kini berada pada peringkat tender, manakala 48 lagi masih di peringkat prakontrak.
“Daripada keseluruhan 135 jambatan di bawah program RM400 juta ini, 39 telah siap, 31 sedang dalam pembinaan, 17 berada pada peringkat tender dan 48 di peringkat prakontrak,” katanya.
Pelaksanaan program itu bertujuan meningkatkan kemudahan perhubungan bagi masyarakat luar bandar, terutama di kawasan yang bergantung pada jalan bekas pembalakan untuk akses harian. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi & George Embie