988 Projek RTP Siap, RM298 Juta Dibelanja Setakat September 2026
KUCHING: Sebanyak 988 daripada 3,935 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diluluskan bagi 2026 telah siap dilaksanakan setakat September 2026 dengan perbelanjaan mencecah RM298 juta atau 66 peratus daripada peruntukan RM450 juta.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, RTP kekal sebagai instrumen penting kerajaan untuk memenuhi keperluan infrastruktur setempat serta meningkatkan akses masyarakat luar bandar kepada kemudahan asas.
“Di bawah Rancangan Malaysia terdahulu, lebih 11,000 projek RTP telah berjaya dilaksanakan di seluruh Sarawak,” ujar beliau semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II memberitahu, Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) turut mencatatkan perbelanjaan sebanyak RM56 juta atau 80 peratus daripada peruntukan RM70 juta bagi 2026 setakat September.
Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), siling peruntukan sebanyak RM200.7 juta diluluskan bagi program itu untuk membantu isi rumah eKasih dan golongan B40 membaiki serta menambah baik kediaman uzur.
Melalui program berkenaan, katanya, penerima yang layak boleh memperoleh bantuan sehingga RM15,000 bagi setiap unit rumah, termasuk unit kediaman individu di rumah panjang.
“Melalui MRP-PPRMS, kita akan terus memastikan mereka yang memerlukan mendapat kediaman yang selamat dan selesa,” katanya.
Sejak pelaksanaannya pada 2018, program berkenaan telah memberi manfaat kepada kira-kira 73,008 penerima di seluruh Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi & George Embie