E-Boat SEB Perkukuh Usaha Pengangkutan Air Hijau Di Sarawak
KUCHING: Pengenalan bot elektrik atau E-Boat oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) merupakan satu lagi inisiatif kelestarian Sarawak dalam meneroka penggunaan teknologi hijau untuk sektor pengangkutan air.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan E-Boat selaras dengan komitmen Sarawak terhadap tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, Sarawak yang mempunyai rangkaian sungai dan laluan air yang luas, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, perlu turut meneroka penggunaan teknologi lebih bersih dalam sektor pengangkutan air.
"Pembangunan bot berkuasa elektrik selaras dengan komitmen Sarawak yang lebih luas terhadap tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar.
"Inisiatif ini menunjukkan bagaimana tenaga bersih dapat diterjemahkan kepada aplikasi pengangkutan yang praktikal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Bot dan Permit Pengangkutan Sungai (RTP) bagi E-Boat milik SEB di Pangkalan Sapi, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, pembangunan bot elektrik itu turut dibina berdasarkan pengalaman yang diperoleh daripada projek E-Penambang sebelum ini, sekali gus membuka ruang untuk menilai prestasi, kebolehpercayaan operasi, keperluan pengecasan dan penyelenggaraan serta kesesuaian teknologi berkenaan dengan keadaan sungai tempatan.
Dato Sri Lee turut menekankan kepentingan penglibatan industri tempatan dalam pembangunan teknologi tersebut memandangkan E-Boat berkenaan dibina dan dipasang di Sibu di mana SEB bertanggungjawab mengintegrasikan sistem pendorongan elektrik serta komponen elektrik berkaitan.
Jelasnya, kerjasama itu memperlihatkan potensi untuk menggabungkan kepakaran industri pembinaan bot tempatan dengan teknologi pendorongan elektrik, sekali gus membuka peluang baharu kepada industri marin Sarawak.
Bagaimanapun, Dato Sri Lee menegaskan aspek keselamatan dan pematuhan peraturan perlu terus diberikan keutamaan, termasuk keperluan pendaftaran bot, pelesenan dan permit operasi.
"Kementerian Pengangkutan Sarawak akan terus bekerjasama rapat dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Jabatan Laut Malaysia dan agensi berkaitan yang lain bagi memudah cara penerimaan teknologi pengangkutan air baharu secara selamat.
"Inovasi dan kelestarian mesti bergerak seiring dengan keselamatan, kebolehpercayaan dan pematuhan peraturan," jelas beliau.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Dr Safiee Ahmad, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Sarawak Bianus Muyou, Kontroler Lt. Col (B) Ding Tiew Wong serta kehormat lain. -EDISI UKAS