Pembangunan Industri Berteknologi Tinggi Buka Lebih Banyak Peluang Kerjaya Untuk Anak Sarawak
KUCHING: Pembangunan industri pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, pertanian berteknologi tinggi serta minyak dan gas dijangka membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada graduan Sarawak untuk berkhidmat di negeri sendiri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelaburan kerajaan dalam bidang pendidikan perlu disertai peluang pekerjaan yang bermakna bagi membolehkan anak Sarawak membina kerjaya dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
"Seiring dengan pembangunan industri berpertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, pertanian berteknologi tinggi serta minyak dan gas, graduan Sarawak akan mempunyai lebih banyak peluang untuk membina kerjaya yang menjanjikan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri tanpa perlu mencari pekerjaan di tempat lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, perkara itu terbukti apabila anak Sarawak yang berpengalaman kembali berkhidmat dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, antaranya Sarawak Petchem yang menawarkan imbuhan dan faedah menarik.
Sebagai contoh katanya, Pengurus Tadbir Urus dan Pematuhan Sarawak Petchem, Siti Aisyah Mohd Zaman, sebelum ini menerajui penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pembiayaan pembangunan pertanian negara serta mengetuai pembangunan program pembiayaan agroteknologi bernilai RM200 juta di Agrobank.
Selain itu, Pengurus Kejuruteraan dan Teknologi Sarawak Petchem, Abang Noor Akmal Yahya Abang Rosli, mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri pembuatan petrokimia dan kimia di enam negara, termasuk United Kingdom, Belgium, Belanda, Jerman, China dan Malaysia.
Seorang lagi anak Sarawak, Aldrin Glenn Roland, yang berkhidmat sebagai Jurutera Kanan Peralatan Berputar di Sarawak Petchem, turut kembali ke negeri ini selepas menjalani latihan industri ketika pengajian prasiswazah di Jerman dan bekerja dalam industri pembuatan di Semenanjung Malaysia.
Menurut Premier Sarawak, pengalaman mereka merupakan antara contoh bakat tempatan berkemahiran tinggi yang memilih untuk kembali berkhidmat di Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie