Hasil Sarawak Diunjur Cecah RM15.1 Bilion, Manfaat Pembangunan Dikembalikan Kepada Rakyat
KUCHING: Peningkatan hasil Sarawak yang diunjurkan mencecah paras tertinggi dalam sejarah negeri, iaitu RM15.1 bilion pada 2027, membolehkan Kerajaan Sarawak memperluas pelaburan pembangunan serta menyalurkan lebih banyak manfaat secara langsung kepada rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, hasil negeri meningkat lebih dua kali ganda daripada RM5.9 bilion pada 2016 kepada unjuran RM13.6 bilion tahun ini.
Menurut beliau, peningkatan hasil itu memperkukuh keupayaan kewangan Kerajaan Sarawak untuk membiayai pelbagai keutamaan pembangunan negeri, khususnya penyediaan infrastruktur dan kemudahan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Peningkatan hasil ini membolehkan kita menggembleng lebih banyak sumber kewangan bagi membiayai keutamaan pembangunan Sarawak, dan manfaatnya dilaburkan semula untuk kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, Sarawak sedang melaksanakan program-program jalan raya utama, seperti Rangkaian Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua bernilai kira-kira RM11 bilion, yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Ujarnya, program itu merangkumi pembinaan 21 jambatan utama, 193 kilometer jalan baharu serta naik taraf 425 kilometer jalan sedia ada dengan Rangkaian Jalan Pesisir dijangka siap pada 2027 dan Jalan Utama Kedua pada 2030.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM2.27 bilion bagi 2027 untuk projek berkenaan dan jalan utama lain, termasuk Lebuh Raya Pesisir Utara.
Selain itu, ujar beliau, projek jalan raya Baram sepanjang 142 kilometer bernilai RM3.8 bilion yang menghubungkan Miri, Marudi, Mulu, Long Panai dan Long Lama turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesalinghubungan kawasan berkenaan.
Tambahnya lagi, lebih 2,700 kilometer paip air di seluruh Sarawak sedang dinaik taraf dan diganti bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan serta mengurangkan kehilangan air bukan hasil.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur itu turut disokong pelaburan dalam pendidikan, bantuan kebajikan bersasar dan peluang untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie