Peruntukan 30 Peratus Kontrak Bumiputera Terpakai Bagi Projek RM100 Juta Ke Atas
KUCHING: Dasar penyertaan kontraktor Bumiputera sekurang-kurangnya 30 peratus terpakai bagi projek pembangunan kerajaan negeri bernilai RM100 juta ke atas yang dilaksanakan melalui beberapa pakej kerja berasingan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dasar itu dilaksanakan oleh jabatan kerajaan negeri, badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan Sarawak.
“Di bawah dasar ini, sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah nilai pakej projek hendaklah diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera.
“Adalah penting untuk ditekankan bahawa syarat 30 peratus itu tidak bermaksud setiap projek atau setiap pakej perolehan mesti dikhaskan untuk kontraktor Bumiputera.
“Sebaliknya, keperluan tersebut dinilai berdasarkan jumlah nilai pakej-pakej kontrak dalam sesebuah projek berskala besar yang layak. Oleh itu, hanya bahagian yang diperuntukkan secara khusus untuk memenuhi syarat penyertaan tertakluk kepada dasar tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah, pakej kontrak di luar peruntukan khusus berkenaan akan terus diberikan melalui proses perolehan biasa, sekali gus membolehkan kontraktor bukan Bumiputera terus terlibat sebagai kontraktor utama, rakan usaha sama dan subkontraktor.
Katanya, dasar itu bertujuan memperluas penyertaan ekonomi Bumiputera serta mewujudkan peluang dalam rantaian bekalan dan kerja subkontrak.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri boleh menilai semula dasar itu apabila kontraktor dan perniagaan Bumiputera sudah mampu berdikari serta bersaing secara adil dalam pasaran.
“Pada masa ini, kuota 30 peratus ini merupakan instrumen penting bagi mencapai pengagihan kekayaan yang saksama.
“Apabila kontraktor dan perniagaan Bumiputera sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri serta bersaing dalam landasan yang setara, Kerajaan pastinya perlu menyemak semula dasar tersebut,” ujar beliau.-EDISI UKAS