KUCHING: Jumlah pengendalian kargo di pelabuhan-pelabuhan Sarawak meningkat 12.5 peratus kepada 48.6 juta tan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 berbanding 43.21 juta tan dalam tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peningkatan itu merupakan petunjuk positif terhadap perkembangan aktiviti perdagangan, perindustrian dan ekonomi negeri.
“Ia mengukuhkan peranan penting pelabuhan kita sebagai pintu masuk kepada perdagangan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Datuk Amar Douglas Uggah menegaskan, bagi menyokong peningkatan permintaan, kerajaan negeri akan terus menambah baik infrastruktur dan kapasiti operasi pelabuhan.
Beliau memaklumkan, sebagai sebahagian daripada usaha itu, operasi RORO telah dipindahkan secara berperingkat dari Pending ke Terminal Senari.
“Bagi melancarkan pemindahan ini, sebuah kawasan simpanan kenderaan dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 3,500 buah kenderaan sedang dibangunkan. Fasa 1, yang mampu menampung 2,500 buah kenderaan, telah mula beroperasi sejak November 2025,” ujarnya.
Daam pada itu, katanya, dermaga Terminal Senari juga akan diperluaskan daripada 635 meter kepada 885 meter serta pembinaan kawasan penyimpanan kontena baharu dengan kapasiti 200,000 TEU dirancang untuk dimulakan pada tahun 2027.
Katanya, pembangunan ini akan mengurangkan masa menunggu kapal, meredakan kesesakan, dan meningkatkan kecekapan pengendalian kargo, di samping menambah kapasiti kontena keseluruhan terminal tersebut sebanyak 36 peratus kepada 750,000 TEU.
Selain itu, beliau mendedahkan, Projek Pengorekan dan Kerja-kerja Berkaitan di Delta Batang Baram, Miri telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 89.53 peratus dengan kerja-kerja pengorekan utama, pembinaan benteng pengarah aliran, serta penambahbaikan navigasi disasarkan untuk siap menjelang Mac 2027.
Jelasnya, projek ini akan menyokong penubuhan Hab Perkhidmatan Sokongan Minyak dan Gas menjelang pertengahan tahun 2027, di samping memudah cara aktiviti pembinaan kapal, pengendalian kargo kontena, perkhidmatan kapal persiaran, serta penyediaan bahan api (bunkering) untuk industri minyak sawit.-EDISI UKAS