Pelantikan Cempaka Sebagai Syarikat Pemajak Pesawat Falcon 8X Dibuat Selaras Dengan Proses Perolehan, Tadbir Urus
KUCHING: Pemilihan Cempaka Helicopter Corporation Sdn Bhd sebagai syarikat pemajak pesawat Falcon 8X oleh Hornbill Skyways dibuat berdasarkan pengalaman syarikat itu dalam sokongan penerbangan, selain melalui proses perolehan, tadbir urus dan usaha wajar yang ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan, dasar itu dilaksanakan oleh jabatan kerajaan negeri, badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan Sarawak.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II berkata, Cempaka merupakan syarikat bersekutu AIROD yang mempunyai pengalaman luas dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat, pengendalian lapangan terbang serta perkhidmatan hangar.
“Berlatar belakangkan keadaan ini, Hornbill Skyways memilih Cempaka sebagai pihak pemajak bagi Falcon 8X.
“Pelantikan Cempaka juga dibuat selaras dengan proses perolehan, tadbir urus, dan usaha wajar yang telah ditetapkan oleh Hornbill Skyways,” ujarnya.
Jelasnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Tambah beliau, AIROD juga mempunyai pengalaman dalam mengendalikan dan memberikan sokongan kepada pesawat VIP, termasuk pesawat yang dikendalikan untuk Kerajaan Persekutuan Malaysia, serta menyediakan perkhidmatan sokongan penerbangan kepada syarikat-syarikat penerbangan utama dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).-EDISI UKAS