Penjawat Awam Sarawak Terima BKK Dua Bulan Gaji, RM700 Buat Penjawat Awam Persekutuan & Pengamal Media
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada 19,851 anggota Perkhidmatan Awam Sarawak berdasarkan gaji pokok terakhir November 2026, dengan anggaran perbelanjaan RM144 juta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bantuan itu akan dibayar sebelum penghujung tahun ini sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan pengorbanan penjawat awam negeri.
“Sebagai tanda penghargaan, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, berdasarkan gaji pokok terakhir bulan November 2026, yang akan dibayar sebelum hujung tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Selain itu, beliau turut mengumumkan pemberian BKK sebanyak RM700 secara sekali bayar kepada kira-kira 132,347 anggota perkhidmatan awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak, melibatkan anggaran perbelanjaan RM93 juta.
Menurut Premier Sarawak, bantuan itu akan dibayar pada suku pertama 2027 sebagai penghargaan terhadap sumbangan penjawat awam Persekutuan, termasuk guru, petugas kesihatan dan anggota keselamatan, dalam menjayakan pembangunan negeri.
“Kita juga tidak melupakan sumbangan rakan-rakan Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak, termasuk para guru, petugas kesihatan dan anggota keselamatan,” ujar beliau lagi.
Dalam perkembangan sama, Premier Sarawak turut mengumumkan bantuan kewangan secara sekali bayar sebanyak RM500 kepada kira-kira 10,141 pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dengan anggaran perbelanjaan RM5.1 juta.
Bagi menghargai sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat dan berita berkaitan pembangunan sosioekonomi negeri, Kerajaan Sarawak turut mengumumkan insentif RM700 secara sekali bayar kepada pengamal media swasta yang berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak.
Premier Sarawak berharap pemberian insentif berkenaan dapat menyuntik semangat penerima untuk terus berbakti, selain meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi & George Embie