100 Projek Biayaan Sarawak Bernilai RM11.3 Bilion Siap, 119 Lagi Dalam Pembinaan
KUCHING: Sebanyak 100 daripada 278 projek pembangunan dibiayai Kerajaan Sarawak bernilai RM34.96 bilion telah siap dilaksanakan, manakala 119 lagi sedang dalam pembinaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, baki 59 projek berada pada peringkat prakontrak, mencerminkan kemajuan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan yang dibiayai kerajaan negeri.
“Daripada 278 projek bernilai kira-kira RM34.96 bilion yang dilaporkan pada persidangan DUN terdahulu, 100 projek bernilai RM11.30 bilion telah siap,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu mendedahkan sebanyak 119 projek bernilai RM18.99 bilion sedang dalam pembinaan, manakala 59 projek bernilai RM4.66 bilion masih di peringkat prakontrak.
Dalam tempoh lima tahun sejak Mei 2022, katanya, rangkaian jalan raya berdaftar Sarawak turut berkembang daripada 32,241 kilometer kepada 40,255 kilometer pada 2026.
“Perkembangan ini mencerminkan usaha bersama Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kesalinghubungan serta aksesibiliti jalan raya,” katanya lagi. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi & George Embie