Projek Infrastruktur Strategik Berpotensi Jana Pertumbuhan Ekonomi Jangka Panjang
KUCHING: Pembangunan infrastruktur strategik seperti lapangan terbang, pelabuhan dan sistem pengangkutan bandar berpotensi merangsang aktiviti perniagaan, menarik pelaburan swasta serta menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak untuk jangka panjang.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaburan dalam infrastruktur berkenaan penting bagi menyokong perkembangan ekonomi, pertumbuhan kawasan bandar dan peningkatan aktiviti perindustrian negeri.
“Infrastruktur strategik ini merupakan satu pelaburan. Lapangan terbang, pelabuhan, dan sistem transit bandar mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan swasta, merangsang aktiviti perniagaan, serta menjana pertumbuhan ekonomi untuk tempoh berdekad-dekad,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Datuk Amar Douglas Uggah berkata, pembangunan infrastruktur itu turut menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi hab serantau bagi sektor tenaga, perdagangan dan pelaburan.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan projek berkenaan disokong perancangan teliti, tadbir urus yang baik serta justifikasi ekonomi jangka panjang.
Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan pelaburan strategik berkenaan bagi menyokong pembangunan dan memastikan Sarawak terus berdaya saing pada masa hadapan.