PIBU Baharu Di Subis Dijadual Beroperasi Tahun Depan
KUCHING: Sebuah Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) baharu di Subis telah dilulus dan dijadualkan mula beroperasi tahun depan bagi memperluas kemudahan sokongan kepada usahawan Bumiputera di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini terdapat 25 PIBU yang beroperasi di seluruh negeri dengan penyertaan seramai 5,953 peserta.
Menurutnya, pusat berkenaan menyediakan premis pada kadar berpatutan, kemudahan guna sama serta bimbingan berstruktur bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan dan membina perusahaan yang mampan.
“Kerajaan akan meneruskan usaha menyediakan premis pada kadar berpatutan, kemudahan bersama dan bimbingan berstruktur untuk membantu usahawan Bumiputera berkembang menjadi perusahaan yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Menurutnya, penambahan pusat di Subis dijangka memperluas akses kepada kemudahan inkubasi dan bimbingan perniagaan bagi usahawan yang memerlukan sokongan untuk membangunkan operasi mereka.
PIBU merupakan antara inisiatif pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan kerajaan Sarawak untuk membantu usahawan Bumiputera meningkatkan keupayaan perniagaan dan bergerak ke arah pertumbuhan yang lebih mampan.-EDISI UKAS