51 Kontraktor Bumiputera Terima Projek RM42.48 Juta Melalui PKBS
KUCHING: Sebanyak 80 projek dengan nilai keseluruhan RM42.48 juta telah diberikan kepada 51 kontraktor bumiputera yang berjaya melalui Program Kontraktor Berdaya Saing (PKBS) sejak diperkenalkan pada 2023.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, seramai 455 kontraktor telah dipilih untuk menyertai 130 projek di bawah program itu, yang melibatkan peruntukan diluluskan sebanyak RM79.8 juta.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak akan meneruskan pelaksanaan PKBS bagi memperluas peluang kepada kontraktor Bumiputera untuk memperoleh projek kerajaan menerusi persaingan bidaan yang terbuka dan kompetitif.
“Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan Program Kontraktor Berdaya Saing bagi meningkatkan penglibatan kontraktor Bumiputera dalam projek kerajaan melalui proses bidaan yang kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Daripada keseluruhan 130 projek yang melibatkan peruntukan diluluskan RM79.8 juta, sebanyak 80 projek bernilai RM42.48 juta setakat ini telah diberikan kepada kontraktor yang berjaya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan bagi memperkukuh keupayaan kontraktor dan pembekal Bumiputera, termasuk program latihan, bantuan peralatan, skim pembiayaan serta pembangunan vendor.
Usaha berkenaan katanya, bertujuan meningkatkan kemahiran, keupayaan operasi dan daya saing kontraktor Bumiputera agar mereka dapat memanfaatkan peluang yang ditawarkan dalam sektor pembinaan dan perolehan kerajaan.-EDISI UKAS