Permohonan Baharu Bantuan Organisasi Keagamaan Sarawak Meningkat 45 Peratus
KUCHING: Permohonan baharu bantuan kerajaan daripada organisasi keagamaan di Sarawak meningkat sebanyak 45 peratus susulan usaha memperluas jangkauan kepada rumah ibadat dan menambah baik sistem dalam talian.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus memperkukuh keharmonian antara agama menerusi program jangkauan bersasar, penglibatan antara agama serta penambahbaikan sistem dalam talian ORSEM.
“Sejajar dengan agenda keterangkuman Sarawak, UNIFOR terus memperkukuh keharmonian antara agama melalui program jangkauan bersasar, penglibatan antara agama dan penambahbaikan sistem dalam talian ORSEM.
“Inisiatif ini telah menyumbang kepada peningkatan sebanyak 45 peratus dalam permohonan baharu bantuan kerajaan daripada organisasi keagamaan, mencerminkan akses yang lebih baik dan jangkauan lebih luas kepada rumah ibadat di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Amar Douglas Uggah memaklumkan bahawa UNIFOR turut memberi perhatian kepada pematuhan prosedur pelaksanaan projek oleh penerima bantuan bagi memastikan prinsip ketelusan, integriti dan akauntabiliti terus dipelihara.
“UNIFOR melibatkan penerima bantuan bagi memastikan mereka mematuhi prosedur pelaksanaan projek untuk menegakkan prinsip ketelusan, integriti dan akauntabiliti,” tambah beliau.-EDISI UKAS