Pemberian Khas Meningkat Kepada RM1.5 Bilion, Rundingan Formula Tahunan Diteruskan
KUCHING: Pemberian khas di bawah Perlembagaan Persekutuan dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai langkah interim yang berkuat kuasa tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kenaikan itu dibuat susulan pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pemberian khas berkenaan tidak meningkat seiring dengan keperluan Sabah dan Sarawak sejak beberapa dekad lalu.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kenaikan berkenaan, sambil menegaskan bahawa rundingan bagi menentukan formula pemberian khas tahunan yang adil dan mampan perlu diteruskan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas langkah penting ini, sementara rundingan ke arah formula tahunan yang adil dan mampan diteruskan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan bahawa pentadbiran Sarawak akan terus memperjuangkan hak negeri yang masih belum diselesaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Pentadbiran saya kekal komited untuk terus memperjuangkan hak-hak Sarawak yang masih belum diselesaikan di bawah MA63,” katanya.-EDISI UKAS