KUCHING: Pertubuhan Wartawan Bebas (PEWARTA) merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg atas pemberian insentif kepada pengamal media di Sarawak.
Presiden PEWARTA, Peter Sibon berkata, pemberian tersebut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan dan sumbangan pengamal media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Menurut beliau, pengamal media berperanan sebagai penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat dalam memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan, inisiatif dan agenda pembangunan negeri disampaikan secara tepat, adil dan bertanggungjawab.
“Insentif ini bukan sahaja merupakan satu bentuk penghargaan yang bermakna, malah menjadi dorongan kepada pengamal media untuk terus melaksanakan tugas secara profesional, berintegriti dan penuh komitmen dalam memperkukuh akses awam kepada maklumat yang boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Ujarnya, PEWARTA berharap inisiatif tersebut dapat terus memperkukuh hubungan kerja antara kerajaan dengan warga media serta meningkatkan kerjasama bagi memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat, berwibawa dan berkualiti.
Dalam masa sama, persatuan itu turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas keprihatinan dan pertimbangan terhadap pengamal media serta berharap inisiatif itu terus memperkukuh persefahaman dan kerjasama bersama dalam mendukung pembangunan serta kemakmuran Sarawak.- EDISI UKAS