MIPD Perketat Pemantauan Projek, Kontraktor Bermasalah Akan Dikenakan Tindakan
KUCHING: Kontraktor yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan akan dikenakan tindakan bagi memastikan pelaksanaan projek jalan raya dan jambatan luar bandar bernilai RM6.85 bilion berjalan lancar.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak 108 projek jalan raya dan jambatan luar bandar dilaksanakan, dengan 18 projek siap, 39 sedang dalam pembinaan, 12 di peringkat tender dan 39 lagi di peringkat prakontrak.
Tegasnya, kementerian akan terus memantau prestasi kontraktor dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya kemajuan projek tidak memuaskan.
“Langkah ini termasuk mengeluarkan amaran, menamatkan kontrak jika perlu dan melantik kontraktor penyelamat untuk menyiapkan projek yang terjejas,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.
Beliau menjelaskan, tindakan berkenaan penting bagi memperkukuh akauntabiliti, melindungi wang awam serta meminimumkan kelewatan dalam penyediaan infrastruktur kepada rakyat.-EDISI UKAS