Kerajaan Sarawak Teroka Mekanisme Pembiayaan Alternatif Dalam Penyediaan Infra, Perkhidmatan Awam
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneroka mekanisme pembiayaan alternatif menerusi kerjasama awam-swasta (PPP) bagi melengkapi pembiayaan kerajaan dalam penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan awam, sekali gus menyokong pembangunan negeri secara mampan.
Timbalan Menteri Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan itu berpotensi mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan negeri selain membuka ruang kepada penyertaan sektor swasta dalam pembangunan Sarawak.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah menyiapkan Kajian Pelan Induk PPP yang akan menjadi kerangka pematuhan bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan.
“Pelan induk itu menyediakan strategi khusus, panduan institusi dan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan bagi memudahkan pembangunan Sarawak melalui penyertaan sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memperkukuh kapasiti pegawai kerajaan dalam pembangunan dan pelaksanaan projek PPP.
Usaha itu katanya dijangka membantu memperkemas pelaksanaan kerjasama antara sektor awam dengan swasta, di samping menyokong penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan awam yang diperlukan rakyat.-EDISI UKAS