MA63 Agenda Nasional, Bukan Isu Sabah & Sarawak Semata-Mata
KUCHING: Agenda pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan tanggungjawab nasional dan bukan sekadar berkaitan isu Sabah dan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendirian itu sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang diadakan di Kota Kinabalu pada September lalu.
Menurut beliau, Datuk Seri Anwar mengakui bahawa MA63 perlu dilihat sebagai agenda nasional yang melibatkan seluruh negara.
“Agenda MA63 bukan sekadar membincangkan isu berkaitan Sabah dan Sarawak, sebaliknya merupakan agenda nasional yang mencerminkan naratif dan tanggungjawab seluruh negara.
"Selain itu, ketika membentangkan belanjawan pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri menyifatkan MA63 sebagai satu 'Ikrar Nasional' yang wajib dihormati oleh seluruh negara,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Justeru tegasnya, pentadbiran Sarawak kekal komited memperjuangkan hak negeri yang masih belum diselesaikan di bawah MA63.- EDISI UKAS