CJA Sarawak Hargai Insentif Khas RM700 Untuk Pengamal Media
KUCHING: Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) cawangan Sarawak menghargai inisiatif Kerajaan Sarawak menyalurkan insentif khas sekali bayar sebanyak RM700 kepada pengamal media seperti yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.
Pengerusinya Nancy Nais berkata, bantuan itu mencerminkan pengiktirafan berterusan kerajaan negeri terhadap peranan pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat serta meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai dasar dan inisiatif pembangunan kerajaan.
“Kami amat menghargai Premier dan Kerajaan Sarawak kerana mengiktiraf sumbangan para wartawan, jurufoto, dan pengamal media, yang dedikasi serta komitmen mereka sering menuntut mereka bekerja dalam keadaan yang mencabar demi menyampaikan berita yang tepat pada masanya, sahih, dan boleh dipercayai kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nancy berkata, insentif berkenaan bukan sahaja memberikan bantuan kewangan, malah membawa mesej bahawa kebajikan dan sumbangan pengamal media turut dihargai.
Beliau berharap sokongan berterusan itu dapat memperkukuh hubungan antara Kerajaan Sarawak dengan pengamal media, selain menggalakkan pengamal media terus mengekalkan profesionalisme, integriti dan kewartawanan bertanggungjawab demi kepentingan awam.-EDISI UKAS