Kempen Produk Agromakanan Tempatan Meriahkan Hari Terakhir Sidang DUN Sarawak
KUCHING: Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan, Produk Ternakan dan Agromakanan Tempatan memeriahkan hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu, sekali gus menjadi platform menggalakkan penggunaan produk tempatan serta menyokong pengusaha agromakanan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan perasmian kempen berkenaan sejurus tamat persidangan di pekarangan Kompleks DUN Sarawak.
Program anjuran Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak bersama Jabatan Pertanian Sarawak dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengutamakan hasil pertanian, ternakan dan produk agromakanan tempatan.
Inisiatif tersebut turut menjadi usaha menyokong petani, penternak dan pengusaha agromakanan Sarawak menerusi peningkatan permintaan terhadap produk keluaran mereka, sekali gus membuka peluang menambah pendapatan.
Suasana kempen bertambah meriah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), petugas persidangan dan pengunjung berpeluang menikmati pelbagai jenis buah-buahan tempatan yang disediakan secara percuma.
Selain mempromosikan amalan pemakanan sihat, penganjuran kempen itu turut memperlihatkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sektor agromakanan serta menggalakkan masyarakat mengutamakan produk tempatan.-EDISI UKAS