Peruntukan Persekutuan Sarawak Meningkat Kepada RM16.2 Bilion Pada 2027
KUCHING: Peruntukan Persekutuan kepada Sarawak meningkat kepada RM16.2 bilion pada 2027 berbanding RM15.1 bilion tahun ini, merangkumi dana pembangunan serta perbelanjaan operasi kementerian dan agensi Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peningkatan itu mencerminkan usaha memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak.
“Kami komited untuk memperkukuh hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.
"Dalam Belanjawan MADANI 2027, peruntukan Persekutuan kepada Sarawak meningkat daripada RM15.1 bilion tahun ini kepada RM16.2 bilion pada 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, peruntukan tersebut perlu disusuli pelaksanaan projek pembangunan secara cekap berdasarkan perancangan dan kelulusan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menyatakan harapannya agar agensi Persekutuan di negeri ini dapat mempercepat pelaksanaan program dan projek pembangunan berdasarkan peruntukan serta skop yang telah diluluskan. -EDISI UKAS