AirBorneo Lancar Penerbangan Sulung Kuching-Jakarta Sebelum Akhir Tahun
KUCHING: AirBorneo dijangka melancarkan penerbangan sulung dari Kuching ke Jakarta sebelum akhir tahun ini bagi memperkukuh hubungan udara Sarawak dengan Indonesia serta memperluas peluang dalam sektor pelancongan kesihatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, laluan baharu itu akan menghubungkan Sarawak secara langsung dengan ibu negara Indonesia yang mempunyai lebih 280 juta penduduk.
“Menjelang akhir tahun ini, saya akan melancarkan penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Jakarta, sekali gus menghubungkan Sarawak secara langsung dengan ibu negara Indonesia yang mempunyai lebih 280 juta penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Menurut beliau, hubungan udara berkenaan turut dijangka memperkukuh sektor pelancongan kesihatan Sarawak yang merekodkan hasil melebihi RM200 juta pada 2025.
Sebelum ini, AirBorneo telah memulakan penerbangan ke Kuala Lumpur pada 20 Julai dan Singapura pada 22 Julai tahun ini sebagai langkah memperluas rangkaian penerbangannya ke luar Malaysia Timur.
Perkembangan itu mencerminkan usaha Sarawak meningkatkan hubungan antarabangsa serta memperkukuh kedudukannya sebagai pintu masuk strategik ke rantau Borneo.-EDISI UKAS