KDJA Hargai Insentif Media RM700 Daripada Kerajaan Sarawak
KUCHING: Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Kerajaan Sarawak atas pemberian insentif sekali bayar RM700 kepada pengamal media menerusi Belanjawan Sarawak 2027.
Presidennya, Ronnie Teo Teck Wei berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Premier Sarawak dalam mengiktiraf sumbangan wartawan dan pengamal media terhadap pembangunan negeri.
Menurutnya, pengiktirafan berkenaan amat bermakna kepada warga media yang berdepan waktu bekerja panjang dan tidak menentu, tugasan mencabar serta tanggungjawab memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan boleh dipercayai.
"Penghargaan bermakna ini merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi, pengorbanan dan usaha pengamal media yang sering tidak disedari, namun sentiasa berusaha memastikan rakyat Sarawak mendapat maklumat, sama ada berkaitan dasar kerajaan, perkembangan ekonomi, isu masyarakat mahupun pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak secara konsisten menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pengamal media, termasuk melalui bantuan yang disalurkan ketika pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, Ronnie Teo memberitahu, KDJA akan terus memperjuangkan kebajikan ahlinya, mempertahankan kebebasan kewartawanan serta memastikan wartawan dapat menjalankan tugas tanpa rasa takut atau campur tangan yang tidak wajar.
Ujarnya, KDJA terus memperkukuh perwakilan wartawan Sarawak di peringkat kebangsaan menerusi penyertaannya dalam Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM).
"KDJA kekal komited untuk memperkukuh profesionalisme, integriti dan pelaporan bebas dalam bidang kewartawanan, di samping bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi meningkatkan kebajikan serta keupayaan ahlinya," jelas beliau
Justeru, beliau mewakili KDJA berharap insentif berkenaan dapat menjadi tanda penghargaan terhadap sumbangan pengamal media yang terus berkhidmat kepada masyarakat melalui pelaporan yang bertanggungjawab, adil dan boleh dipercayai. -EDISI UKAS