Pengeluaran Minyak Darat Sarawak Kembali Aktif Selepas Hampir 50 Tahun
KUCHING: Pengeluaran minyak darat di Sarawak kembali aktif selepas hampir 50 tahun susulan pengeluaran pertama daripada Adong Kechil West Early Production System di Blok SK433, Miri pada Julai 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, PETROS dan PETRA Energy telah memulakan pengeluaran minyak pertama di lapangan berkenaan dengan pengeluaran kira-kira 800 tong sehari daripada satu telaga.
“Pada Julai 2026, PETROS dan PETRA Energy memulakan pengeluaran minyak pertama daripada Adong Kechil West Early Production System di Blok SK433 di Miri, dengan pengeluaran kira-kira 800 tong sehari daripada satu telaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menurut beliau, perkembangan itu menghidupkan semula pengeluaran minyak dan gas darat Sarawak selepas hampir 50 tahun, dengan usaha kini diteruskan untuk meneroka tapak darat lain.
Katanya, tinjauan graviti lanjutan memberikan gambaran lebih jelas mengenai geologi kawasan, dengan penerokaan awal memberi tumpuan kepada Balingian, Limbang, Marudi dan Niah.
Dalam masa sama, PETROS meneroka pembangunan bersepadu medan gas luar pesisir di Barat Sarawak, khususnya di luar Kuching, bagi menyediakan bekalan gas yang boleh dipercayai untuk Kuching Low-Carbon Hub (KLCH).
Usaha itu dijangka menarik industri dan pelaburan, selain membuka peluang pembangunan hiliran serta memacu pertumbuhan ekonomi.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie