Kepimpinan Sarawak Perlu Sesuaikan Pendekatan Dengan Pengundi Generasi Baharu
KUCHING: Kepimpinan Sarawak perlu menyesuaikan pendekatan dengan perubahan generasi pengundi yang semakin celik teknologi dan mempunyai jangkaan berbeza terhadap kepimpinan, khususnya dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada generasi baharu mempunyai akses kepada maklumat dan pengetahuan yang membolehkan mereka menilai isu serta mengemukakan persoalan yang lebih kompleks.
“Kita mesti ingat, pengundi kita sudah berubah, termasuk golongan berusia 18 tahun ke atas.
“Generasi ini ialah golongan yang akan mempersoalkan dan mengajukan soalan kepada kita,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, perubahan itu menuntut pemimpin untuk terus menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa dan memahami keperluan masyarakat yang semakin berubah.
Dalam perkembangan sama, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, kepimpinan juga perlu diperkukuh melalui usaha membangunkan barisan pemimpin yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan serta memahami isu yang dihadapi masyarakat di kawasan masing-masing.
Katanya, perubahan ekonomi dan sosial pada masa hadapan akan menjadikan keperluan masyarakat semakin kompleks, sekali gus menuntut pendekatan kepimpinan yang lebih responsif. -EDISI UKAS