Kepercayaan Rakyat Perlu Diterjemah Kepada Hasil Pembangunan Nyata
KUCHING: Kepercayaan rakyat perlu diterjemahkan kepada hasil pembangunan yang nyata menerusi komitmen, kejujuran dan kesungguhan wakil rakyat dalam memastikan setiap dasar serta inisiatif kerajaan memberikan manfaat kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai berkata, sokongan rakyat terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang datang dengan sendirinya, sebaliknya perlu dipelihara melalui pelaksanaan amanah dan tanggungjawab secara berterusan.
Menurut beliau, setiap wakil rakyat perlu memastikan aspirasi serta keperluan masyarakat di kawasan masing-masing mendapat perhatian sewajarnya, seiring dengan agenda pembangunan Sarawak.
“Sebagai wakil rakyat daripada blok kerajaan GPS, kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kepercayaan diberikan oleh rakyat diterjemahkan kepada hasil yang nyata.
“Kita perlu sentiasa bersatu dalam menyokong agenda pembangunan negeri, mengukuhkan keyakinan rakyat, dan memastikan suara masyarakat di setiap kawasan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis GPS Backbenchers Night yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini, pada Rabu.
Nicholas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis GPS Backbenchers Night menambah, meskipun setiap kawasan mempunyai latar belakang serta cabaran pembangunan yang berbeza, semua wakil rakyat berkongsi matlamat untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
“Walaupun kita datang daripada kawasan yang berbeza dan berdepan dengan cabaran yang tidak sama, matlamat kita tetap satu, iaitu memastikan rakyat Sarawak menikmati kehidupan yang lebih baik serta pembangunan yang menyeluruh dan seimbang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh semangat ‘Segulai Sejalai’ dalam kalangan wakil rakyat bagi memastikan perbezaan keperluan dan cabaran di setiap kawasan dapat ditangani menerusi kerjasama yang erat.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan tetamu lain.-EDISI UKAS