Sarawak Sasar Jadi Pencipta Teknologi Dalam Tempoh Lima Tahun
KUCHING: Sarawak menyasarkan peralihan daripada pengguna kepada pencipta teknologi dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai langkah strategik mentransformasikan struktur ekonomi negeri kepada ekonomi berasaskan inovasi, pengetahuan dan penciptaan nilai tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, tempoh lima tahun tersebut merupakan fasa penting bagi melonjakkan ekonomi Sarawak ke tahap lebih tinggi, sekali gus meningkatkan daya saing di peringkat global.
“Lima tahun akan datang merupakan tempoh peralihan untuk membawa ekonomi kita ke tahap yang lebih tinggi.
“Dalam tempoh ini, kita perlu mempunyai dasar-dasar yang cekap bagi memastikan peralihan tersebut berjalan lancar, sekali gus membolehkan kita beralih daripada pengguna kepada pencipta teknologi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night di sini pada Rabu.
Tambah beliau, Sarawak perlu bergerak melangkaui aktiviti pemasangan teknologi kepada pembangunan dan penciptaan teknologi sendiri yang mampu menjana nilai tambah lebih tinggi kepada ekonomi negeri.
Jelasnya, transformasi tersebut memerlukan dasar yang berkesan, penguasaan ilmu pengetahuan baharu serta pembangunan infrastruktur yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Sarawak perlu menetapkan aspirasi untuk mencapai standard bertaraf dunia dan membina keupayaan bersaing dengan ekonomi maju.
“Jika kita hanya berada pada tahap penyumbang kedua, kita tidak akan mampu berada di hadapan.
“Dengan kata lain, ekonomi kita akan terus terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana. Oleh itu, kita perlu berubah dan menjadi pencipta nilai ekonomi untuk membolehkan kita keluar daripada perangkap pendapatan sederhana,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan kepentingan perubahan struktur ekonomi bagi memastikan Sarawak tidak terus bergantung kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah rendah, sebaliknya mampu menghasilkan teknologi, inovasi dan kepakaran sendiri.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS Backbenchers, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Baleh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Nicholas Kudi Jantai serta ADUN dan tetamu lain.-EDISI UKAS