Bersedia Galas Apa Jua Peranan Menjelang PRN Sarawak
KUCHING: Kesediaan menggalas apa jua tanggungjawab menjadi pendirian barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang sama ada sebagai calon mahupun dalam peranan lain.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, setiap wakil rakyat perlu bersedia melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh komitmen, di samping mengekalkan semangat kebersamaan dalam kalangan anggota GPS.
Menurut beliau, kesediaan itu penting ketika penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semakin menghampiri penghujungnya.
“Tidak kira apa peranan yang bakal diberikan kepada kita menjelang pilihan raya nanti, saya yakin setiap daripada kita akan melaksanakan peranan kita sehabis baik.
“Sekiranya kita jadi 'striker', jadi 'midfield', jadi 'keeper' atau pemain simpanan, saya yakin Yang Amat Berhormat Premier, ahli-ahli Backbenchers dan ahli-ahli GPS akan memberi sokongan sepenuhnya kepada GPS yang sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis GPS Backbenchers Night yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Dato Fazzrudin berkata, majlis berkenaan turut menjadi platform menghargai kerjasama dan komitmen ahli Kelab Penyokong Kerajaan (Backbenchers Club) sepanjang penggal DUN.
Katanya, peranan wakil rakyat bukan sahaja tertumpu kepada perbahasan dasar dan penelitian rang undang-undang, malah turut merangkumi tanggungjawab memastikan setiap inisiatif pembangunan memberikan manfaat kepada rakyat.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan hubungan baik dan semangat kebersamaan dalam kalangan wakil rakyat meskipun terdapat perbezaan pandangan sepanjang persidangan DUN.
“Politik mungkin menyatukan kita, tetapi persahabatanlah yang seharusnya terus mengekalkan kebersamaan kita,” katanya.
Sementara itu, mengulas ucapan penggulungan Premier Sarawak, Dato Fazzrudin berkata, beliau tertarik dengan pendekatan yang bukan sahaja mengetengahkan angka peruntukan dan projek pembangunan, malah turut menyentuh kisah kehidupan rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
Menurutnya, pendekatan tersebut mengingatkan wakil rakyat bahawa di sebalik setiap dasar dan peruntukan kerajaan, terdapat kehidupan individu serta keluarga yang diharapkan menerima manfaat daripada pelaksanaannya.
Jelas beliau, pencapaian pembangunan tidak seharusnya dilihat berdasarkan angka semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira perubahan sebenar terhadap taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, kisah kejayaan serta pengalaman rakyat yang menerima manfaat daripada pelaksanaan dasar kerajaan juga wajar diketengahkan bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai impak pembangunan di Sarawak.-EDISI UKAS