Sarawak Perlu Tingkat Ekonomi Bernilai Tinggi Untuk Kekalkan Bakat Tempatan
KUCHING: Sarawak perlu meningkatkan tahap ekonominya kepada aktiviti bernilai tinggi dan berasaskan teknologi bagi menyediakan peluang pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan graduan, sekali gus menggalakkan lebih ramai anak tempatan membina kerjaya di negeri sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan ekonomi pada tahap lebih tinggi penting untuk memastikan tenaga kerja berkemahiran tinggi mempunyai peluang menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
“Tadi saya ada menyebut tentang manfaatnya. Kita takut anak-anak kita keluar, tetapi kalau ekonomi kita berada pada tahap yang lebih tinggi, kita boleh menarik mereka untuk kembali.
“Saya sebut tadi, ada dua tiga orang yang balik, termasuk kelulusan sarjana dalam bidang fisioterapi dari Imperial College London, tetapi balik bekerja di Sarawak.
“Persoalannya, kenapa mereka mahu balik ke Sarawak? Sebab itu, ekonomi kita mesti berada pada tahap yang lebih tinggi supaya mereka yang bekerja di luar juga mahu kembali ke Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu perubahan itu perlu disokong oleh pendidikan dan penguasaan ilmu baharu supaya Sarawak mempunyai tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Katanya, pendekatan baharu perlu diteruskan dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan Sarawak bersedia menghadapi perubahan ekonomi dan keperluan tenaga kerja yang semakin kompleks. -EDISI UKAS