Insentif RM700 Suntik Semangat Pengamal Media Swasta Sarawak
SIBU: Insentif khas sekali bayar sebanyak RM700 kepada pengamal media swasta menerusi Belanjawan Sarawak 2027 disifatkan sebagai suntikan semangat kepada pengamal media di negeri ini dalam meneruskan tanggungjawab menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat.
Pengerusi Persatuan Wartawan Sibu (SJA), Florence Nervyn berkata, pengumuman itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan serta sumbangan pengamal media, khususnya dalam mendepani cabaran industri yang semakin mencabar.
Mewakili pihak SJA, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas inisiatif berkenaan yang disifatkan sebagai pengiktirafan bermakna terhadap peranan warga media.
“Dalam keadaan industri media yang semakin mencabar, perhatian Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan pengamal media amat dihargai.
“Usaha dan komitmen mereka yang sentiasa berada di garis hadapan bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat serta sahih akhirnya mendapat perhatian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Menurut Florence, meskipun diberikan secara sekali bayar, insentif itu tetap membawa nilai yang besar dari segi dorongan moral kepada pengamal media untuk terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan integriti.
Tambahnya, sokongan sedemikian turut penting dalam mengekalkan kredibiliti institusi kewartawanan serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap penyampaian maklumat.
Sehubungan itu, SJA berharap perhatian terhadap kebajikan dan pembangunan profesional pengamal media di Sarawak dapat diteruskan menerusi pelbagai inisiatif pada masa hadapan.
Beliau berkata, SJA kekal komited memperjuangkan kebajikan ahli serta memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memartabatkan profesion kewartawanan.-EDISI UKAS