PM Puji Tindakan Pantas Sarawak Tangani Jerebu Serantau, Inisiatif Kelestarian Alam
PUTRAJAYA: Komitmen Sarawak dalam melaksanakan inisiatif pembangunan mampan, khususnya berkaitan kelestarian alam sekitar serta tindakan pantas menangani isu jerebu serantau, mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengiktirafan itu disuarakan Perdana Menteri ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Mampan (SDG) Negara Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Perdana, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada Khamis.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hadir mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada mesyuarat berkenaan.
Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.
Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri turut memuji usaha Sarawak dalam melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutama yang memberi penekanan terhadap pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar.
Pujian terhadap tindakan pantas Sarawak menangani isu jerebu serantau turut mencerminkan kepentingan langkah proaktif dalam mendepani cabaran alam sekitar yang memerlukan kerjasama dan penyelarasan berkesan.
Mesyuarat berkenaan menghimpunkan Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri dari seluruh negara bagi membincangkan pelaksanaan serta hala tuju dasar pembangunan mampan negara.
Ia turut menjadi platform penting untuk menilai kemajuan pelaksanaan SDG di peringkat nasional dan negeri, selain memperkukuh komitmen bersama ke arah pembangunan yang seimbang, inklusif dan mampan.
Penyertaan Sarawak dalam mesyuarat tersebut memperlihatkan komitmen berterusan negeri dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara, khususnya melalui pendekatan yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.-Edisi UKAS