Orang Ramai Digesa Henti Sebar Video Insiden Remaja Di Sekolah
KUCHING: Orang ramai digesa supaya tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan video insiden membabitkan seorang remaja di sebuah sekolah di Kuching bagi melindungi privasi, maruah dan kesejahteraan kanak-kanak berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, penyebaran rakaman itu boleh menyebabkan tekanan emosi, membuka ruang kepada gangguan dalam talian serta menjejaskan privasi individu yang terlibat.
Tambahnya, orang ramai juga perlu mengelakkan spekulasi dan tindakan menghukum remaja berkenaan melalui media sosial sebelum keadaan sebenar insiden itu diketahui.
“Media sosial tidak seharusnya menjadi platform untuk memalukan seseorang secara terbuka atau mengadili mereka berdasarkan persepsi orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dato Sri Fatimah turut menegaskan bahawa sebarang insiden keganasan atau penggunaan senjata di sekolah perlu dipandang serius bagi memastikan keselamatan guru dan pelajar sentiasa terpelihara.
Pada masa sama, katanya, pendekatan terhadap remaja yang terlibat perlu mengambil kira aspek kebajikan, bimbingan dan sokongan yang bersesuaian tanpa mengetepikan keperluan untuk menangani tingkah laku yang membahayakan.
“Kita tidak seharusnya mentakrifkan seseorang remaja berdasarkan satu insiden semata-mata, namun pada masa sama tidak boleh mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan guru serta pelajar yang terjejas,” katanya.-EDISI UKAS