RTB Skim Penempatan Semula Stampin Beri Manfaat Kepada Lebih 9,000 Penduduk
KUCHING: Pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Skim Penempatan Semula Stampin dijangka memberi manfaat kepada lebih 9,000 penduduk melibatkan kira-kira 1,000 isi rumah di kawasan berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata projek berkenaan penting dalam mengurangkan risiko banjir kilat yang sering memberi kesan kepada penduduk di kawasan penempatan tersebut yang telah berusia lebih 50 tahun.
Menurut beliau, RTB Fasa Satu melibatkan peruntukan kira-kira RM87 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem saliran serta langkah mitigasi banjir di kawasan berkenaan.
Katanya, kerja-kerja saliran utama perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum sistem saliran kecil di kawasan perumahan dapat disambungkan bagi memastikan aliran air dapat disalurkan dengan lebih berkesan.
“Yang paling penting ialah ia dapat mengurangkan banjir kilat.
“Apabila saliran utama dibesarkan dan disambungkan ke Sungai Sarawak, ia akan menyediakan lebih banyak ruang untuk air dan membantu mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan ke Majlis Pelancaran Projek Tebatan Banjir (RTB) Skim Penempatan Semula Stampin di sini pada Khamis.
Datuk Amar Sim menjelaskan, projek tersebut dijangka mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk disiapkan berikutan pelaksanaannya melibatkan kawasan yang telah mempunyai rumah, paip air, utiliti serta infrastruktur sedia ada.
Menurutnya, pendekatan berperingkat diperlukan bagi memastikan kerja-kerja pembangunan dapat dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan kemudahan penduduk secara ketara.
Beliau menambah, usaha menangani isu banjir perlu mengambil kira perubahan corak cuaca dan peningkatan kejadian hujan lebat akibat perubahan iklim.
Jelasnya, perancangan tebatan banjir kini turut memberi penekanan kepada penyediaan ruang takungan air seperti kolam takungan bagi menampung lebihan air sebelum ia disalurkan keluar.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan pembangunan baharu tidak meningkatkan risiko banjir di kawasan sekitarnya.
“Air perlu mempunyai ruang untuk ditakung. Sebab itu kita perlu melihat keseluruhan sistem, daripada saliran kecil kepada saliran utama dan seterusnya ke sungai,” katanya.
Katanya lagi, pelaksanaan projek RTB berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan infrastruktur serta kesejahteraan penduduk, khususnya di kawasan yang telah lama membangun.
Datuk Amar Sim menambah, pembangunan infrastruktur seperti sistem saliran, jalan raya dan kemudahan awam perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kawasan berkenaan terus berkembang seiring dengan keperluan penduduk.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng dan tetamu lain.-EDISI UKAS