Warisan Perlu Diambil Kira Seawal Perancangan Pembangunan
KUCHING: Aspek pemeliharaan warisan budaya dan alam semula jadi perlu diintegrasikan sejak peringkat awal perancangan pembangunan bagi mengelakkan kerosakan terhadap tapak dan nilai warisan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penilaian perlu merangkumi pengenalpastian nilai, kepentingannya kepada masyarakat serta potensi kesan pembangunan bagi memenuhi keperluan pembangunan tanpa menjejaskan warisan.
“Adalah penting untuk mengintegrasikan pertimbangan warisan dalam perancangan pembangunan sejak peringkat awal, bukannya hanya menanganinya selepas keputusan utama dibuat,” katanya semasa berucap dalam Majlis Antarabangsa Mengenai Monumen dan Tapak (ICOMOS) ke-22 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, pendekatan itu memerlukan kerjasama antara pihak berkuasa warisan, agensi perancangan, institusi alam sekitar, pihak berkuasa tempatan, institusi penyelidikan serta pemimpin masyarakat.
Tambah Datuk Len, perkongsian maklumat, kepakaran profesional dan hasil penyelidikan juga perlu diperkukuh supaya keputusan pembangunan dibuat berdasarkan pemahaman yang menyeluruh terhadap sesuatu kawasan dan komuniti yang terlibat.
Justeru, kerjasama antara kerajaan, masyarakat, sektor swasta dan organisasi berkaitan perlu diperkukuh bagi memastikan pemeliharaan warisan menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan pembangunan di Sarawak.-EDISI UKAS